Saturday, November 10, 2012

Sentuhan Kasih Felda dan Durian Runtuh



Umum mengetahui bahawa FELDA adalah satu agensi kerajaan Malaysia yang menangani penempatan semula penduduk luar bandar yang miskin ke kawasan-kawasan yang baru dibangun agar meningkatkan taraf ekonomi mereka dengan memajukan tanah baru untuk dijadikan ladang pertanian yang produktif.

Diasaskan pada 1 Julai 1956 apabila Akta Pembangunan Tanah (1956) dikuatkuasakan, FELDA telah membuktikan kejayaan demi kejayaan apabila berjaya mengurangkan kemiskinan di luar bandar melalui petempatan semula, malah memegang kepentingan minoriti dalam sebilangan bank utama Malaysia.
Himpunan generasi belia FELDA 10 November adalah detik bersejarah yang paling bermakna bagi warga peneroka apabila Y.A.B Perdana Menteri melancarkan bayaran durian runtuh fasa ketiga yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM563 juta.

Pemberian durian runtuh ini adalah hasil yang diraih daripada Penawaran Awam Permulaan IPO Felda Global Venture(FGV), dimana kesemua pemegang saham FGV dijangka akan menerima dividen daripada 50% keuntungan yang diraih oleh perniagaan FGV dimana telah berjaya mendapat penyenaraian kedua terbesar selepas Facebook.

Program "Sentuhan Kasih Felda" yang diumumkan oleh Najib pagi tadi telah menjadi bukti bahawa kerajaan melalui FELDA terus membela nasib peneroka dimana terdapat tiga komponen penting yang ditekankan iaitu Pembangunan Rumah Berkualiti Tinggi, Projek Pertanian Bersepadu dan Pembangunan Infrastruktur Moden.
Sesuai dengan terma "durian runtuh", para peneroka sekali lagi menerima berita gembira apabila diumumkan bahawa FELDA akan menyasarkan sebanyak 20,000 buah rumah mampu milik bernilai RM70,000  seunit akan dibina bertujuan untuk menyediakan rumah yang selesa serta menaiktaraf hidup generasi baru FELDA. Difahamkan bahawa beberapa unit sudah mula dibina di beberapa wilayah FELDA.

Melalui komponen-komponen lain Program Sentuhan Kasih Felda ini, peneroka bakal menerima perubahan yang besar dari segi jaminan pendapatan tetap  serta pembangunan usahawan melalui aktiviti pertanian dan industri asas tani apabila ladang moden bersepadu dilancarkan malah dapat merealisasikan hasrat FELDA untuk menjadi "Gedung Makanan Negara"

Berdasarkan kejayaan FELDA dalam membela kelangsungan hidup para peneroka telah menepis retorik pihak yang enggan mengakui hakikat kejayaan FELDA walaupun realitinya menunjukan bahawa hasil dari perjuangan selama 56 tahun penubuhannya telah dinikmati sehingga ke generasi yang berikutnya.

No comments:

Post a Comment