Monday, November 12, 2012

Generasi Baharu Felda Merasai Nikmat Sama Rata



Kemeriahan Himpunan Generasi Belia Baharu FELDA yang berlangsung selama 3 hari di Dataran Padang Kawat UiTM Shah Alam memberikan impak yang besar kepada kelompok peneroka dan generasi baharu Felda. Himpunan yang diadakan khusus untuk golongan generasi kedua FELDA ini menyajikan pelbagai aktiviti yang meliputi segala aspek dari segi kerohanian, kerjaya, kecergasan dan infrastruktur yang disediakan untuk kelompok FELDA.

Program bermula dengan sesi forum yang  dikendalikan oleh En. Mandzri bin Nasib (Exco Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) di mana kewajaran skim rumah mampu milik yang disediakan untuk generasi  kedua FELDA ditekankan. Apa yang menarik perhatian, Kumpulan FELDA sebagai salah sebuah  syarikat konglomerat terbesar di Malaysia tidak pernah meminggirkan generasi kedua FELDA.  Difahamkan, sebanyak RM120 juta telah diperuntukkan oleh FELDA di bawah projek "Sentuhan Kasih FELDA"  bagi generasi baharu ini membina  rumah mampu milik dan menjalankan projek tanaman kontan yang berpulangan tinggi.

Bersebelahan dengan khemah utama turut didirikan khemah pameran yang disertai oleh anak syarikat dan pelbagai agensi yang berkaitan dengan FELDA. Turut dipamerkan replika rumah mampu milik dibawah skim Sentuhan Kasih Felda. Jika 56 tahun dahulu, taraf hidup kelompok peneroka berada di tahap agak bawahan, kini mereka telah dapat menikmati kehidupan yang selesa dan harmoni dengan kemudahan yang moden dan kontemporari berkat kejayaan pentadbiran dan pengurusan FELDA.

Perasmian himpunan yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari kedua telah memberikan berita gembira kepada generasi kedua FELDA. Janji kepada generasi kedua yang diucapkan beberapa bulan yang lalu akhirnya terlaksana pada hari kedua himpunan. Durian runtuh sebanyak RM563 juta telah diperuntukkan untuk generasi kedua Felda membuktikan FELDA tidak hanya menjaga kepentingan dan kebajikan generasi peneroka, malahan kesenangan itu turut dapat dinikmati hingga ke generasi kedua. Kesemua pemberian durian runtuh ini diraih daripada Penawaran Permulaan Awam(IPO) FGV di mana ianya adalah penyenaraian kedua terbesar di dunia selepas Facebook.

Malam kedua himpunan terus berlangsung meriah dengan kehangatan malam Hiburan Generasi Baru (HIGEBA) yang menampilkan pelbagai konsep hiburan dari yang berkonsep kerohanian hinggalah ke pop rock. Konsert yang rata-rata menampilkan anak Felda dari serata Wilayah itu menggamit keriuhan dan sambutan yang amat baik dari golongan generasi baharu FELDA yang hadir.

Dalam masa yang sama, himpunan ini juga turut menyelitkan aktiviti kesukanan iaitu pertandingan paintball, bola jaring, futsal dan explorace sebagai pengisian. Tinjauan di tapak lokasi juga mendapati sambutan dari generasi baharu amat menggalakkan dan masing-masing menampilkan semangat juang dan kesukanan yang tinggi untuk memberikan persembahan yang terbaik.

Hari ketiga himpunan melabuhkan tirai dengan majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa bin Dato Haji Abd Samad. Sambutan dan sokongan padu dari generasi baharu terhadap Pengerusi FELDA ini membuktikan mereka mengiktiraf kepimpinan Tan Sri Mohd Isa dalam memacu FELDA ke peringkat global.

Pada dasarnya, FELDA telah berada di landasan yang betul dalam fokusnya untuk menjadi "Economic Powerhouse" dengan kata singkatnya, merancakkan rancangan FELDA supaya setanding dengan bandar-bandar lain. Dengan pelbagai kemudahan dan transformasi yang telah dan sedang dilakukan oleh FELDA, diakui ianya berjaya melahirkan satu komuniti yang harmoni dan berinovasi malahan generasi baharu FELDA tidak pernah ditinggalkan dalam aspek pembangunan sosial dan ekonomi.

No comments:

Post a Comment